2/25/09

Sultan Selangor Yakin Sebarang Keputusan Menteri Besar

–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–
25 Februari 2009

Sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada hari Rabu, 25 Februari 2009 dan menyembah kepada baginda perkembangan hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor serta isu yang elibatkan Yang Berhormat Elizabeth Wong Keat Ping, Adun Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa Baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizibeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Yang Berhormat Elizabeth Wong dalam politik. Sebagai Sultan Selangor, Baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic).

Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya. Baginda turut merasa dukacita dan amat bimbang kerana sejak akhir-akhir ini perbuatan menceroboh hak peribadi dan ‘privacy’ individu telah dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang. Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai.

Kepada Yang Berhormat Elizabeth Wong, Baginda melahirkan rasa sedih dan simpati di atas insiden yang telah berlaku dan berharap agar beliau dapat bertenang, sabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan ini dan meneruskan kehidupan seharian beliau.

DATO’ HAJI MOHAMAD MUNIR BIN BANI
Dato’ Lela Bakti
Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin

Pro-Success Team Headline Animator


Mail:

Comment: